IMAM HANIFAH DICAMBUK
Imam
Abu Hanifah Diracun
Imam Abu Hanifah adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia
Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan
orang Arab. Beliau keturunan Parsi atau disebut juga dengan bangsa Ajam.
Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama
menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.
Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bertepatan tahun 699
Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama yang sebenarnya ialah Nu’man bin
Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian masyhur dengan gelaran Imam Hanafi.
Kemasyhuran
nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:
1. Kerana ia
mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan
dengan Abu Hanifah.
2. Kerana semenjak
kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka ia
dianggap seorang yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya
ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.
3. Menurut
bahasa Parsi, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis
hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan
Abu Hanifah.
Waktu ia dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul
Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima. Kepandaian Imam Hanafi
tidak diragukan lagi, beliau mengerti betul tentang ilmu fiqih, ilmu tauhid,
ilmu kalam, dan juga ilmu hadith. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu
kesusasteraan dan hikmah.
Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh,
seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa
matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun
demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya
beliau.
Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan
kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan
diterimanya. Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang
melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu
tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan
akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang ada di
tempat tersebut
Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bahawa
bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan
pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan kedua
terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera
dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu
akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah
perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka
semuanya akan selamat.
Sifat Imam Hanafi yang lain adalah menolak kedudukan tinggi yang
diberikan pemerintah kepadanya. Ia menolak pangkat dan menolak wang yang
dibelikan kepadanya. Akibat dari penolakannya itu ia ditangkap dan dimasukkan
ke dalam penjara. Di dalam penjara ia diseksa, dipukul dan sebagainya.
Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin Hurairah
Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu dapat mengangkat dan memberhentikan
pegawai yang berada di bawah kekuasaannya. Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi
akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi
pengangkatan itu ditolaknya. Ia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut.
Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun
tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim)
tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi
tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa
curiganya. Oleh kerana itu ia diselidiki dan diancam akan dihukum dengan hukum
dera. Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Hanafi
menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan
kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Demikian beraninya
Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.
Pada suatu hari Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang
terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya. Di antara mereka yang datang
ketika itu adalah Ibnu Abi Laila. Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan
lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.
Ketika itu gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan
Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang
negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu
Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya ia akan dihukum dengan pukulan.”
Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan
itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan
tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian
dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas
hari kemudian baru dipukul sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baru
dibebaskan. Beberapa hari sesudah itu gabenor menawarkan menjadi kadi, juga
ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110
kali. Setiap hari didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam
Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sampai ia dilepaskan kembali setelah cukup
110 kali cambukan.
Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi
bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja untuk menghina Imam Hanafi.
Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa ia sempat berkata. “Hukuman dera
di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti.” Ketika ia
berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan
bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian. Kemudian pada tahun 132 H sesudah
dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari
keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as
Saffah.
Pada tahun 132 H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan
ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul
Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya
masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat
dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di
Baghdad, supaya ia datang mengadap ke istana. Sesampainya ia di istana Baghdad
ia ditetapkan oleh baginda menjadi kadi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan
tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap
akan menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Hanafi “Amirul mukminin
lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya.”
Kerana ia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal
untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada saat
itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya
ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah
telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu,
Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.
Pada suatu hari Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana
mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi ia tetap menolak. Baginda bertanya,
“Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”
Dijawab oleh Imam Hanafi: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah
memperbaiki Amirul Mukminin.
Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu
dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya
bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan
dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.”
Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai
memegang jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Hanafi: “Amirul Mukminin, sungguh
baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa
saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana
baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab.
Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.”
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga
orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri
dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya
ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan,
masing-masing diberi surat pelantikan tersebut. Imam Sufyan ats Tauri diangkat
menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota.
Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pengangkatan itu di manapun ia
diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang
tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu
menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak
mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri.
Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara
dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk
sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu kali Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah
tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Ia dipaksa
meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan
ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di penjara ketika
itu ia berusia 70 tahun.
Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan
daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak
pemerintahan yang mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha mengajak
Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan akhirnya mereka
seksa hingga meninggal, kerana Imam Hanafi menolak semua tawaran yang mereka
berikan.
Comments
Post a Comment