KISAH SAIDINA JAAFAR TERBANG DI SYURGA
KISAH
SAIDINA JAAFAR BIN ABI TALIB PEMILIK DUA SAYAP
PART 1
DALAM sebuah
hadith, Baginda SAW pernah bersabda yang mafhumnya : “Aku melihat Jaafar berada
di syurga. Dia memiliki dua pasang sayap yang berlumuran darah. Sayap tersebut
berbulu dengan kemilau cahaya”. Baginda telah ditunjukkan dengan kedudukan
Jaafar di dalam syurga Allah SWT.
Menerusi
segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin jam 5.15 petang,
Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi mengenai kisah Saidina Jaafar bin
Abi Talib.
Dalam
kalangan Bani Abdul Manaf, terdapat lima orang yang amat mirip dengan
Rasulullah SAW. Lima orang tersebut daripada kalangan keluarga Baginda daripada
Bani Abdul Manaf. Mereka adalah Abu Sufyan bin Al-Harith, sepupu dan saudara
susuan Baginda SAW, Al-Fadhlu bin Al-Abbas bin Abdul Mutallib, juga sepupu
Baginda SAW, As-Saaib bin Ubaid bin Abdi Yazid bin Hashim, Al-Hassan bin Ali
bin Abi Talib, cucu Baginda SAW dan juga Jaafar bin Abi Talib, saudara kepada
Amirul Mukminin, Saidina Ali bin Abi Talib dan sepupu kepada Baginda SAW.
Sekalipun
Abi Talib merupakan orang yang dipandang mulia dalam kalangan bangsanya, namun
beliau merupakan orang yang sangat sederhana dalam hidupnya dan kadangkala
menghadapi kesulitan dalam kehidupan. Keadaan tersebut bertambah sulit dengan
datangnya musim kemarau yang pada ketika itu, bangsa Arab Quraisy tidak
mempunyai bekalan makanan yang cukup dan haiwan ternakan tidak dapat
mengeluarkan susu yang banyak. Di kalangan Bani Hashim pada ketika itu, tidak
ada seorangpun yang mempunyai keluasan dan kelapangan hidup kecuali Baginda
Rasulullah SAW dan bapa saudaranya, Al-Abbas. Lantas Baginda berkata kepada
Al-Abbas “Wahai bapa saudaraku, sesungguhnya saudaramu Abu Talib ramai
keluarganya. Marilah kita ke rumahnya untuk menanggung sebahagian keluarganya.
Aku akan menanggung seorang anaknya dan engkau pun akan menanggung seorang lagi
daripada anaknya”.
Setelah
keduanya bersetuju mencukupkan kehidupan dua orang putera Abi Talib tersebut,
Al-Abbas kemudian berkata “Engkau telah mengajak kepada kebaikan”. Lalu mereka
berdua berangkat bertemu dengan Abi Talib. Meraka tiba di rumah Abi Talib dan
menyatakan hasrat untuk meringankan beban Abi Talib, lantas Abi Talib berkata
“Kalian boleh mngambil sesiapa sahaja daripada ahli keluargaku, selain daripada
‘Aaqil, anak sulungku”. Baginda SAW mengambik Saidina Ali dan menjadikan Ali
sebagai sebahagian daripada ahli keluarga Baginda. Manakala Al-Abbas pula
mengambil Jaafar bin Abi Talib.
Saidina
Ali terus tinggal bersama Rasulullah SAW sehinggalah Baginda diutus sebagai
seorang nabi, Ali merupakan orang pertama yang memeluk Islam daripada kalangan
pemuda. Manakala Jaafar pula kekal dengan bimbingan Al-Abbas sehingga beliau
membesar dewasa memeluk agama Islam dan hidup dengan penuh kesenangan bersama
Al-Abbas. Jaafar bin Abi Talib berserta isterinya, Asma’ binti Umais
telah bergabung dengan rombongan kaum Muslimin dalam perjalanan pertama
mereka untuk berhijrah pada jalan Allah SWT. Mereka berdua memeluk Islam berkat
ajakan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebelum Rasulullah masuk ke rumah Arqam bin
Abi Al-Arqam. Pemuda daripada Bani Hashim ini bersama isterinya telah merasa
bagaimana peritnya seksaan dan tekanan yang dilakukan oleh orang Quraisy.
Segala tekanan dan ujian sanggup mereka hadapi kecuali mereka tidak sanggup
apabila Quraisy menyekat mereka beribadah kepada Allah SWT.
Sesudah
mendapat keizinan daripada Rasulullah SAW untuk berhijrah, salah seorang
daripada mereka ialah Jaafar bin Abi Talib. Mereka tinggal di sana dengan
jaminan keamanan daripada Raja Najjasyi merupakan pemimpin Habsyah. Akhirnya
pertama kali mereka merasakan aman sejak mereka memeluk Islam dan mereka nikmat
ibadah tanpa ada yang mengganggu urusan ibadah mereka. Namun orang Quraisy yang
mengetahui keadaan ini merancang untuk mengahalang mereka dan mengembalikan
mereka ke Kota Makkah. Maka pada ketika itu, berlakulah satu kisah yang
disebutkan oleh Ummu Salamah.
Ummu Salamah bercerita bahawa datang dua orang utusan daripada kaum Quraisy Amru bin al-Aas dan Abdullah bin Abi Rabi’ah untuk memujuk Raja Najjasyi bagi mengarahkan kaum Muslimin yang berhijrah agar pulang dan kembali kepada agama lama mereka. Mereka berdua telah memperdaya pemuka agama di Habsyah agar membenarkan mereka berjumpa Raja Najjasyi dan akhirnya menceritakan kepada raja Najjasyi mengenai kehadiran kaum Muslimin yang disebut oleh mereka orang-orang yang kurang akal yang telah keluar daripada agama lama dan menganut agama baharu yang tidak diketahui. Mendengarkan perkara itu yang turut diakui oleh pemuka agama yang telah disogok oleh harta yang dibawa utusan Quraisy itu, Raja Najjasyi tidak berpuas hati dan mengarah agar mereka dipanggil untuk memberikan penjelasan.
Kemudian dipanggilnya mereka dan ditanya menganai perkara itu. Tampil Saidina Jaafar bin Abi Talib menjawab persoalan Raja Najjasyi mengenai agama yang mereka anuti. Saidina Jaafar bercerita mengenai kebaikan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Beliau turut menceritakan mengenai segala suruhan yang diperintahkan dan perkara-perkara larangan yang perlu ditinggalkan. Jaafar juga menceritakan bahawa kaum Quraisy juga telah berlaku kasar kepada mereka dan mengganggu mereka dalam beribadah.
Jaafar
kemudian berkata lagi “mereka menyeksa kami dengan teruk agar kami dapat
kembali kepada agama mereka. Ketika mereka semakin kuat menganiaya kami, maka
kami dengan rela hati telah keluar daripada tanah air kami menuju ke negeri mu
ini wahai Raja Najjasyi. Kami mengharapkan perlindunganmu”.
Kemudian Raja Najjasyi meminta agar dibacakan wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Baginda. Saidina Jaafar kemudian membacakan ayat-ayat yang boleh menyentuh hati Raja Najjasyi iaitu ayat berkenaan Siti Maryam dan Nabi Isa. Pada ketika ayat mengenai fitnah Siti Maryam dibacakan, maka menangislah Raja Najjasyi mendengarkan ayat itu. Kemudian Raja Najjasyi berkata “Apa yang dibawa oleh Nabi kalian dan apa yang dibawa oleh Isa Ibnu Maryam adalah berasal dari sumber cahaya yang sama, daripada Allah SWT”. Kemudian baginda menoleh ke arah dua orang utusan tersebut lalu mengusir mereka berdua.
PART 2
SAIDINA Jaafar
bin Abi Talib RA bersama isterinya, tinggal di bawah perlindungan Raja Najjasyi
selama hampir sepuluh tahun. Hidup dalam keadaan aman, damai dan tenteram.
Beliau dan isteri akhirnya dapat merasakan kelazatan beribadah setelah tidak
mengecapinya ketika di Makkah kerana gangguan oleh kaum kafir Quraisy. Menerusi
segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim
al-Bindany meneruskan kisah mengenai Saidima Jaafar bin Abi Talib.
Pada
tahun ke-7 Hijrah, Jaafar bersama kumpulan kaum Muslimin meninggalkan Habsyah
lalu berhijrah ke Kota Madinah. Ketika mereka tiba di Kota Madinah, saat itu
Baginda Rasulullah SAW baru pulang dari Peperangan Khaibar sesudah berjaya
menguasai Khaibar dan keseluruhannya. Baginda SAW sangat gembira dengan
kedatangan Saidina Jaafar sehingga Baginda mengungkapkan satu syair : “Aku
tidak tahu mana satu yang menyebabkan aku sangat gembira pada hari ini. Apakah
kerana kemenangan di dalam peperangan Khaibar ataupun kerana kembalinya
Jaafar”.
Kegembiraan
mengenai ketibaan Jaafar di Kota Madinah itu bukan sahaja dirasai oleh Baginda
SAW, bahkan seluruh kaum muslimin turut merasai kegembiraan tersebut. Ini
kerana Jaafar merupakan orang yangsp sangat prihatin kepada orang miskin
sehinggakan beliau diberi gelaran dengan panggilan ‘Abu al-Masakin’ iaitu bapa
kepada orang-orang miskin. Abu Hurairah R.A mengatakan bahawa “orang yng sangat
baik kepada kami ialah Jaafar bin Abi Talib. Beliau pernah mengajak kami
rumahnya dan memberikan makan minuk kepada kami sehingga habis makanan yang
dihidangkan dan beliau sanggup mengeluarkan bekas kecil yang berisi manisan di
situ dan kami menikmatinya bersama-sama”.
Kegembiraan
itu tidak berlanjutan lama. Setelah setahun lebih Saidina Jaafar berada di
Madinah dan pada Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah, Baginda telah menggerakkan
satu angkatan untuk menentang kerajaan Rom di negara Syam. Baginda telah
mempersiapkan sati angkatan yang disertai oleh Saidina Jaafar. Kejadian itu
berlaku apabila Rasulullah SAW mengutuskan Harith bin Umair sebagai utusan
Baginda untuk menyampaikan surat Baginda kepada Kaisar, Maharaja Rom. Tetapi
ketika Harith tiba di Mu’tah, Jordan, beliau telah disekat oleh ketua-ketua
kabilah di sana yang akhirnya beliau telah dibunuh. Ia merupakan satu tamparan
hebat buat Baginda SAW dalam urusan dakwah Baginda kerana tidak pernah berlaku
dalam sejarah, seorang utusan dibunuh. Bahkan di dalam undang-undang pada
ketika itu juga, seluruh bangsa mengetahui bahawa utusan tidak boleh dibunuh.
Apabila Harith bin Umair dibunuh, maka Baginda telah menggerakkan sejumlah tiga ribu angkatan perajurit perang dan Baginda telah melantik tiga orang ketua untuk memimpin angkatan tersebut. Panji peperangan tersebut telah diberikan kepada Zaid bin Harithah dan Baginda berpesan “Sekiranya Zaid gugur syahid maka yang akan mengetuai kumpulan tersebut ialah Jaafar bin Abi Talib. Sekiranya Jaafar juga terbunuh, maka ketika itu yang akan menjadi ketua kepada seluruh angkatan kaum muslimin ialah Abdullah bin Rawahah. Sekiranya Abdullah juga gugur, maka ketika itu hendaklah kaum Muslimin melantik seorang amir di kalangan mereka yang mereka rasakan mampu untuk memimpin mereka”.
Tatkala
angkatan muslimin ini tiba di Mu’tah, mereka dapati orang-orang Rom telah
membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi mereka. Ketika itu telah
berkumpul seratus ribu angkatan tentera Rom dan mereka telah bergabung pula
dengan pasukan Arab yang beragama Nasrani seramai seratus ribu. Melihatkan itu,
para sahabat kemudian berbicang sama ada perlukah mereka menghantar utusan
kepada Baginda Nabi SAW tentang jumlah angkatan musuh. Kemudian Abdullah bin
Rawahah lantas berkata “Tidakkah kita ini berperang untuk agama ini. Kita bukan
berperang kerana jumlah kita yang ramai. Kita juga tidak berperang kerana cukup
kelengkapan. Sebaliknya kita berperang untuk agama ini dan kita tlah dijanjikan
oleh Allah dengan dua kemenangan, sama ada kemenangan di dalam medan peperangan
ataupun kemenangan dengan mati syahid.
Api
peperangan mula marak menyala. Zaid bin Harithah mula meluru ke arah angkatan
musuh dengan gagah berani sambil mengikat erat panji peperangan yang ada pada
dirinya. Angkatan musuh sangat-sangat memerhatikan ke arah orang yang membawa
panji peperangan tersebut. Mereka menyerang Zaid bertalu-talu dan akhirnya Zaid
bin Harithah, kekasih Rasulullah SAW yang juga anak angkat Baginda telah jatuh
dan gugur ke bumi. Tatkala Saidina Jaafar melihat Zaid dan panji peperangan
jatuh, Jaafar terjun daripada haiwan tunggangannya dan terus meluru ke arah Zaid
dan mengambil panji peperangan tersebut lalu ditegakkan semula.
Kemudian,
beliau pula mula mempertahankan panji peperangan tersebut daripada angkatan
musuh. Namun dalam masa yang singkat saat beliau bergelut dengan musuh, beliau
juga telah dikepung oleh angkatan musuh dan pada saat itulah angkatan musuh
telah menetak tangan kanannya sehingga putus. Sebelum panji tersebut jatuh ke
bumi, beliau sambar panji tersebut dengan tangan kirinya. Mereka kemudian
menetak tangan kirinya lalu putus maka diapit dengan kedua lengannya. Kemudian
mereka menetak bahunya sehingga tercabut dan pada ketika itu, mereka menyerbu
dan menikam beliau dengan banyak yang akhirnya beliau jatuh tersungkur. Panji
peperangan itu, sebelum jatuh ke bumi disambar pula oleh Saidina Abdullah bin
Rawahah.
Abdullah
bin Rawahah juga tidak mampu bertahan lama kerana diserang oleh angkatan kusuh
dan saat beliau rebah, maka panji-panji tersebut telah diserahkan oleh Saidina
Khalid bin Al-Walid. Beliau yang sangat pintar dalam strategi peperangan mula
mengawal peperangan tersebut dengan baik. Akhirnya dengan strategi perang yang
disusun oleh Khalid bin Al-Walid, maka beliau berjaya menyelamatkan tentera
Muslimin daripada terkorban kesemuanya. Hanya 12 orang sahaja yang gugur syahid
di medan Mu’tah ini.
Saidina
Jaafar, saat beliau gugur di medan peperangan ini, beliau sedang berpuasa. Saat
dibawa air kepadanya agar beliau dapat minum setelah luka teruk dan cedera
parah, beliau tetap tidak mahu membatalkan puasanya. Beliau kemudian berkata
“Aku sedia untuk menunggu minuman-minuman syurga”. Berita kematian ketiga-tiga
pemegang panji itu sampai kepada Rasulullah SAW. Berjurai airmata Baginda
mendengarkan berita tersebut. Selepas itu, Baginda mendongak ke langit
sambil tersenyum dan mengungkapkan “Ketiga-tiga mereka telahpun dibawa ke
syurga”.
Ringkas
cerita, ketiga-tiga sahabat yang disebutkan baginda semuanya menemui shahid.
Baginda sangat bersedih ketika menerima wahyu akan berita tersebut. Baginda
pergi ke setiap rumah keluarga ketiga sahabat itu untuk menyampaikan berita
kesyahidan mereka.
Sampai
di rumah Jaafar, baginda SAW mendapati isteri beliau Asmaa binti Umais sedang
melakukan persiapan untuk menyambut kepulangan suaminya. Adunan roti telah siap
diuli. Anak-anak telah siap dimandikan, diwangikan dipakaikan pakaian indah.
Asmaa melihat wajah baginda sugul kesedihan tetapi tidak tergamak untuk bertanya. Baginda memanggil kesemua anak-anak mereka. Anak-anak itu dengan girang berlari datang ke arah baginda lalu kesemuanya didakap dan dipeluk seeratnya. Baginda cium setiap satu anak-anak kecil itu dalam linangan air mata yang mencurah-curah.
Asmaa
tidak dapat bertahan lagi. Beliau terus bertanya.
“Demi ayah dan ibuku Ya Rasulullah. Kenapakah kamu menangis? Adakah apa-apa
berita tentang Jaafar dan kedua saudaranya itu?”
Sabda baginda:
“Ya… kesemua mereka telah syahid..”
Tatkala itu hilang segala senyuman dari wajah anak-anak kecil tersebut, melihat ibunya menangis teresak-esak. Mereka semua kaku tidak mengerti.
Rasulullah SAW segera menyapu airmata dan berdoa:
“Ya Allah. Peliharakanlah anak-anak Jaafar..”
“Ya Allah. Peliharakanlah keluarga Jaafar..”
Kemudian
baginda bersabda kepada mereka
“Aku telah melihat Jaafar kini bersama malaikat di Syurga, dikurniakan dua
pasang sayap yang masih dibasahi dengan darah..”
Bergembiralah wahai keluarga Jaafar. Orang tersayang kalian sudah dijamin Rasulullah sebagai ahli Syurga sedang kalian masih di muka dunia. Bergembiralah dengan syafaat syuhada.
Bergembiralah
jua buat semua kita yang kehilangan orang tersayang di medan juang. Pasti
mereka juga kini sedang berada di syurga, menantikan giliran kita untuk
mengurnia syafaat yang diizinkan tuhan.
Usah bersedih dengan perpisahan sementara ini. Jika orang kita sayang itu meninggal dalam perjuangan, pasti beliau kini bersama Jaafar. Dan kita, insyaAllah akan mendapat kemuliaan sebagaimana yang di disabdakan Nabi SAW:
“Seseorang itu (akan dihimpunkan di akhirat) bersama orang yang dikasihi.”
Comments
Post a Comment